Pemilihan fabrik langsir yang tepat pasti mencantikkan lagi
ruang dalaman rumah. Selain itu ia turut memberikan keselesaan kepada penghuni
dan tetamu rumah tersebut.
Anggaran bajet
Harga kain langsir kebiasaannya bergantung kepada jenis
fabrik, ketebalan serta kualiti. Sebelum keluar membeli langsir, pastikan anda
telah anggarkan ‘bajet’ yang akan anda belanjakan. Pastikan langsir yang ada
pilih nanti bersesuaian dengan bajet anda. Jangan risau kerana sekarang ini ada
banyak pilihan fabrik langir yang cantik dan berkualiti pada harga yang
berpatutan.
Tentukan ukuran
Memilih ukuran yang tepat akan memberikan suasana ruang
dalam rumah nampak lebih kemas, teratur dan menarik. Untuk kesan yang lebih
dramatik, gantung langsir pada bahagian yang lebih tinggi. Sebelum anda keluar
membeli langsir, terlebih dahulu ambil ukuran panjang dan lebar untuk tingkap
atau pintu yang ingin anda pasangkan langsir nanti. Catatkan ukuran yang tepat
di atas sehelai kertas. Bawa kertas tersebut dan tunjukkan kepada
pembantu jualan di kedai. Mereka yang mahir dalam bidang ini akan membantu anda
membuat ukuran kain yang tepat. Jika terlebih beli, membazir pula nanti
sebaliknya jika fabrik langsir tidak mencukupi, pasti akan menjejaskan ruang
dalaman rumah bila mengantung langsir tersebut.
Jenis fabrik
Pemilihan fabrik langsir juga penting dalam menentukan
kegunaan langsir di dalam rumah. Pertimbangkan suasana bilik. Untuk ruang lebih
rasmi, elok digayakan dengan langsir fabrik tebal seperti sutera baldu yang
mempunyai bukaan besar. Bagaimanapun, pilihan lebih praktikal adalah campuran
rayon sutera dan kapas. Fabrik kapas atau linen lebih menarik apabila ia
mencecah lantai. Harus diambil kira juga pencahayaan dalam sesuatu bilik. Jika
bilik tersebut kurang mendapat cahaya dari luar, seeloknya beli fabrik langsir
yang lebih nipis dan begitulah sebaliknya.
Padanan corak dan warna
Ada pelbagai corak dan warna fabrik langsir yang dijual,
boleh rambang mata bila memilih. Namun pastikan pilihan warna dan corak fabrik
langsir bersesuaian dengan warna cat dalaman rumah. Juga berpadanan dengan tema
dan jenis perabut yang digunakan. Memilih warna semula jadi untuk ruang di
dalam rumah adalah pilihan tepat kerana membantu anda memadankan dengan warna
perabot. Jika ruang rumah menerima banyak sinaran matahari, elakkan langsir
warna lembut kerana ia akan cepat pudar. Pilih warna sedikit terang bagi
membantu menghalang cahaya masuk dan langsir lambat pudar.
Potongan
Fesyen langsir berubah mengikut peredaran zaman. Sekarang ni
pelbagai pilihan potongan boleh didapati. Anda boleh membuat ropol,
potongan lurus, kedutan, bidai dan sebagainya. Jika anda ingin menjahit sendiri
dan masih lagi berjinak-jinak dengan seni jahitan langsir, dapatkan bantuan
serta latihan yang mencukupi. Pelbagai panduan jahitan langsir kini boleh
didapati dengan mudah, sama ada menerusi buku, e-buku dan juga informasi
internet yang boleh didapati dengan percuma. Ataupun anda juga boleh
mendapatkan khidmat menjahit langsir yang kebiasaannya disediakan di
kedai-kedai menjual fabrik langsir.
Kombinasi warna cat ruang dalaman rumah, susun atur perabut
dan pemilihan fabrik dan corak langsir yang tepat pasti akan menambahkan lagi
keserian dekorasi ruang dalaman. Ruang dalaman juga boleh kelihatan lebih luas,
jika kena pada kombinasi yang sesuai.